Mohd Zulkifli Zainuddin

“DALAM Islam mengajar seorang adik mesti tahu cara hormat kepada abang.”

Itulah jawapan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz ketika ditanya mengenai kemelut yang melanda dalam keluarganya berikutan keputusannya bertanding atas tiket PKR di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, dalam Islam turut mengajar seorang abang wajib sayang adiknya walaupun adiknya membuat masalah.

“Alhamdulillah, seperti ambo (saya) sebut sebelum ini, kalaulah adik beradik mempunyai 10 orang, anak kelima jumpa bonda, anak kedua pun jumpa juga bonda,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap di Ceramah Isu Semasa di Bilik Operasi pakatan pembangkang DUN Kadok, di Kota Bharu, malam ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan beliau tidak pulang ke rumah, Nik Omar menafikan perkara berkenaan.

“Malam ini ambo balik, esok ambo ada perhimpunan bersama pelajar ambo di Maahad Darul Anwar (di Pulau Melaka) dan perjumpaan dengan guru pada jam 8.30 pagi. Semua orang boleh tengok,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Nik Omar berkata beliau bersedia menerima segala maki hamun dan cacian yang sebaik membuat keputusan dalam tempoh sebulan lalu untuk bertanding.

“Biasanya (maki hamum dan cacian) datang daripada orang berilmu. Itu cara dia, ambo tidak buat macam itu.

“Kita tengok kehidupan pemimpin yang hidup gaya mewah, apa keperluan wakil rakyat hidup dengan lapan, sembilan kereta. Kalau nak hidup dengan rakyat, jangan fikir dan hidup mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 1:46 AM