KHOR (kiri) bersama Watanabe (dua dari kiri) dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Manufacturing Group, Datuk Kwek Leng San (tengah) pada majlis Pelancaran Motosikal ke-4,000,000 di Kompleks Hong Leong Yamaha, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, hari ini. FOTO Rosdan Wahid
KHOR (kiri) bersama Watanabe (dua dari kiri) dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Manufacturing Group, Datuk Kwek Leng San (tengah) pada majlis Pelancaran Motosikal ke-4,000,000 di Kompleks Hong Leong Yamaha, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, hari ini. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Razlan Salleh


PENGEDAR dan pemasang motosikal jenama Yamaha, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) melakar satu lagi sejarah permotoran apabila meraikan pengeluaran motosikal ke-4,000,000 di kilang pemasangannya di Persiaran Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, hari ini.

Simbolik pengeluaran itu dilakukan bersama Naib Presiden Eksekutif Yamaha Motor Co Ltd, Katsuaki Watanabe dan Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor.

Bercakap pada majlis berkenaan, Watanabe berkata, kejayaan itu adalah hasil usaha gigih semua pihak bermula daripada pekerja bawahan sehingga ke peringkat pengurusan tertinggi.

“Dedikasi dan komitmen tinggi ditunjukkan setiap pekerja pemasangan, jualan, vendor, pengedar dan rakan strategik menjadikan majlis ini satu kenyataan.

“Pengeluaran ini turut mendapat perhatian Yamaha Motor Co Ltd yang menzahirkan penghargaan tinggi terhadap HLYM,” katanya.

Sementara itu, Khor berkata, pengeluaran itu membolehkan pihaknya terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya berharap semua pihak dalam ‘keluarga Yamaha’ bekerja lebih keras dan penuh komitmen dalam menjadikan produk Yamaha menepati standard global,” katanya.

Terdahulu, HLYM mula mengeluarkan model pertama RX100 pada 1979 di kilang pemasangan pertama sebelum memperluaskan pengeluaran dengan memasang pelbagai model motosikal.

Pada 1994, kilang pemasangan HLYM merekodkan pengeluaran motosikal ke-1,000,000 sebelum angka berkenaan terus meningkat setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 9:58 PM