SEBAHAGIAN daripada 52 individu yang positif dadah ditahan anggota AADK dalam Ops Dadah yang dijalankan sekitar Petaling Jaya malam tadi. FOTO NSTP
SEBAHAGIAN daripada 52 individu yang positif dadah ditahan anggota AADK dalam Ops Dadah yang dijalankan sekitar Petaling Jaya malam tadi. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI yang menjadikan bilik tidur rumah keluarganya di Taman Medan, Petaling Jaya sebagai 'port selamat' melayan dadah jenis syabu bersama tiga rakan, dicekup anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor dalam Ops Dadah dijalankan awal pagi tadi.

Ketika ditahan, keempat-empatnya berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun didapati sedang berada dalam keadaan khayal, manakala ibu bapanya yang mengetahui kegiatan itu hanya membiarkan perbuatan mereka.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor, Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, ketika ditahan, pihaknya turut menemui 'dapur', iaitu peralatan digunakan empat lelaki berkenaan untuk menagih dadah jenis syabu.

Katanya, empat lelaki itu antara 52 individu berusia 15 tahun hingga 62 tahun yang ditahan kerana positif mengambil dadah dalam operasi sekitar Petaling Jaya dijalankan antara 12 tengah malam hingga pagi hingga 3 pagi tadi.

"Operasi awal pagi tadi dijalankan di lima lokasi sekitar Petaling Jaya iaitu di Taman Medan, Taman Dato Harun, Desa Mentari, Desaria dan kawasan PJS1 hingga PJS6 membabitkan kekuatan 31 anggota AADK Selangor, AADK cawangan Petaling Jaya dan Unit Strike Ibu Pejabat AADK.

"Operasi itu memberi tumpuan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan perangi dadah habis-habisan oleh AADK," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Menurut Mohd Firdaus, seramai 68 individu diperiksa dan 52 disahkan positif mengambil dadah.

"Mereka yang positif mengambil dadah itu terdiri daripada 50 lelaki dan dua wanita.

"Seramai 30 daripadanya positif mengambil dadah jenis syabu, 20 lagi positif ganja, 10 lagi positif mengambil morfin atau heroin manakala dua lagi positif mengambil ketamin," katanya.

Katanya, kesemuanya kini ditahan reman mengikut Seksyen 😔1) dan Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah (APD).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 2:37 PM