NAJIB bersama Idris (enam dari kanan) dan Dr Ali (lapan dari kiri) pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Pogram Transformasi Negara (NTP) 2017 di MITEC, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
NAJIB bersama Idris (enam dari kanan) dan Dr Ali (lapan dari kiri) pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Pogram Transformasi Negara (NTP) 2017 di MITEC, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nazura Ngah; Veena Balbulal; Hidir Reduan; Farhana Syed Nokman; Hazwan Faisal Mohamad; Amir Hisyam Rasid; Luqman Arif Abdul Karim dan Ahmad Suhael Adnan.


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak berazam memacu pembangunan negara bersama anggota pentadbiran ke arah masa depan yang jauh lebih baik.

Keazaman beliau berasaskan keyakinan Malaysia berada di ambang dan gerbang perubahan besar yang akan berlaku pada masa depan.

Najib berkata, untuk menjayakan perancangan pembangunan negara, kerajaan memerlukan keyakinan setiap rakyat terhadap kemampuan negara.

“Kenapa kita membuat dasar transformasi? Kenapa kita membuat pembangunan infra rakyat? Kenapa lakukan pelbagai perubahan... supaya kita boleh membawa Malaysia daripada takuk lama kepada takuk baharu, dihormati dunia, berdaya saing, berjaya di tanah air dan peringkat persada antarabangsa serta tidak ada mana-mana individu terabai.

“Saya berazam memacu pembangunan negara bersama rakan saya, anggota pentadbiran ke arah masa depan jauh lebih baik. Saya yakin kita berada di ambang gerbang perubahan besar dan ini akan berlaku dalam tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama, Penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 2017 dianggap tahun memberangsangkan buat negara menerusi pencapaian luar biasa sehingga Bank Dunia menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukan sekali dua, sebaliknya tiga kali disebabkan pencapaian luar jangkaan.

Beliau berkata, Malaysia juga mencatat kadar pertumbuhan 5.9 peratus, antara yang tertinggi di dunia.

Katanya, pencapaian itu antaranya disebabkan dasar transformasi nasional berjaya dan pembaharuan dilakukan menerusi NTP meletakkan asas kukuh kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Langkah itu membuahkan hasil, kita menentukan kadar inflasi rendah, dapat sediakan peluang pekerjaan yang banyak sekali dan semua ini diiktiraf pihak badan penarafan.

“Badan penarafan seperti Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-23 negara berdaya saing, malah tahun lalu, indeks kebahagiaan Malaysia melonjak dari tangga 42 kepada 35.

“Kejayaan kita hari ini bukan setakat dari segi perangkaan mikro tetapi penambahbaikan sebenar,” katanya sambil memetik beberapa contoh pembinaan infrastruktur seperti Transit Aliran Massa (MRT) yang akan menghubungkan seluruh kawasan Lembah Klang apabila siap dalam tempoh enam tahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 11:23 PM