KEADAAN rumah pekerja selepas kejadian kebakaran, di Simpang 4 Durok, Jalan Nabawan, Keningau. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah pekerja selepas kejadian kebakaran, di Simpang 4 Durok, Jalan Nabawan, Keningau. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh


DUA pekerja kedai tayar nyaris rentung apabila bilik didiami mereka terbakar di rumah pekerja di Simpang 4 Durok, Jalan Nabawan, Keningau, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 7.30 malam itu, seorang daripada pekerja kedai tayar terbabit hanya menyedari kebakaran apabila terlihat percikan api di dinding biliknya.

Bagaimanapun, tindakan pantas penghuni yang segera keluar dari bangunan itu berjaya menyelamatkan nyawa mereka sebelum orang ramai menghubungi bomba.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Keningau, Jaree Mohamad berkata, bomba menerima panggilan pada 7.44 malam dan seramai 18 anggota bersama tiga jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Difahamkan, bangunan itu didiami pekerja kedai tayar dan daripada tiga bilik yang terbakar, dua daripada berpenghuni.

"Seorang daripada penghuni menyedari kebakaran selepas terlihat percikan api di dinding sebelum mengejutkan rakannya yang sedang tidur di bilik sebelah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jaree berkata, operasi memadam kebakaran segera dilakukan sebelum berjaya dikawal pada 8.18 malam sebelum operasi ditamatkan kira-kira 10 minit kemudian selepas pemeriksaan mendapati tiada mangsa dilaporkan cedera.

"Punca kebakaran dan anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 2:30 PM