TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mazlan Mat Rashid bersama anggota melawat dan menyumbangkan sumbangan kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Abdul Rani Awang, 71, yang kini terlantar sakit akibat angin ahmar di rumahnya. FOTO Ihsan UMNO Indera Mahkota
TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mazlan Mat Rashid bersama anggota melawat dan menyumbangkan sumbangan kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Abdul Rani Awang, 71, yang kini terlantar sakit akibat angin ahmar di rumahnya. FOTO Ihsan UMNO Indera Mahkota
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“WALAUPUN dalam keadaan lumpuh dan tidak mampu bercakap dengan baik, dia masih bertanya mengenai perihal kampung dan ingin ke surau bersolat bersama orang kampung, tetapi saya tidak mengizinkan kerana keadaan kesihatannya tidak stabil.”

Itu kata Noraini Ibrahim, 67, isteri kepada bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Kuantan, Abdul Rani Awang, 71, yang kini terlantar sakit akibat angin ahmar sejak Oktober lalu.

Noraini berkata, sejak daripada itu dia bertungkus lumus menguruskan segala keperluan suaminya termasuk menemaninya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mendapatkan rawatan.

"Suami saya lumpuh separuh badan dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik, dalam keadaan macam itu dia tetap ingat kepada penduduk kampung dan jirannya.

"Pernah dia minta saya menyiapkannya untuk ke surau kerana ingin bertemu penduduk kampung tetapi saya tidak izinkan," kata ibu kepada enam cahaya mata ketika ditemui NSTP baru-baru ini.

Abdul Rani yang berkhidmat sebagai Pengerusi JKKK Kampung Tengah dari tahun 1995 hingga 2000 diserang angin ahmar ketika di bilik tidur dan doktor merawat memaklumkan ia akibat penyakit darah tinggi dihidapinya sebelum ini.

Noraini berkata, suaminya hanya terlantar dan perlu dibantu untuk melakukan segala aktiviti harian dan selera makannya juga semakin berkurangan serta tidak banyak bercakap termasuk dengan anak-anak.

"Selain menjalani rawatan di hospital dan memberikan ubat, saya turut mencari ikhtiar dengan mencuba perubatan tradisional bagi memulihkan kembali keadaan fizikal," katanya.

Nasib Abdul Rani yang turut mengharapkan wang pencen untuk meneruskan kelangsungan hidup mendapat perhatian Yayasan MyPrihatin apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyumbangkan katil boleh laras kepadanya di rumahnya.

Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota Datuk Mazlan Mat Rashid itu sebagai inisiatif meringankan beban keluarga Abdul Rani selain memenuhi keperluannya untuk menggunakan katil berkenaan.

Mazlan berkata, pihaknya akan meneliti keperluan lain diperlukan Abdul Rani bagi memastikan kebajikannya terjaga memandangkan banyak jasa yang dilakukannya sepanjang berkhidmat sebagai bekas Pengerusi JKKK Kampung Tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:16 PM