LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Fharkhan Abdul Ghapar


AKAR yang reput dikenal pasti punca sebatang pokok Hujan-Hujan berusia 130 tahun tumbang dan nyaris menghempap suami isteri berdekatan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, hari ini.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Fadzilah Abdul Rashid dalam satu kenyataan, berkata secara fizikal pokok itu berada dalam keadaan baik, namun pemeriksaan selepas ia tumbang mendapati berlaku pereputan pada bahagian akarnya.

“Pereputan itu memberi kesan kepada pertumbuhan akar pokok yang menyebabkan ia tidak stabil dan mudah tumbang,” katanya.

Dalam kejadian pada 7.43 pagi, pokok berukur lilit 4.65 meter itu tumbang menyebabkan suami isteri yang menaiki motosikal cedera selepas melanggarnya.

Mangsa, Norazrul Ahmad, 37, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, manakala isterinya, Mira Ezva Abd Rasid, 25, cedera ringan.

Fadzillah berkata, pokok di kawasan berkenaan diselenggara secara berjadual sebanyak dua kali setahun selain melaksanakan penambahbaikan bagi kerja penyelenggaraan pokok.

“Pihak kontraktor wajib melantik arboris (pakar mengenai pokok) bagi menjalankan pemeriksaan pokok secara fizikal dan menyediakan laporan untuk DBKL bagi mengenal pasti kawasan pokok berisiko tinggi selain mengemukakan cadangan tindakan yang perlu dilaksanakan.

“DBKL juga sedang merangka Pelan Pengurusan Pokok Berisiko dengan memberi keutamaan di kawasan tepi jalan.” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Dugaan pengantin baru

[UPDATE] 2 cedera pokok tumbang di Jalan Ampang

Pokok hempap penunggang motosikal [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 4:56 PM