DUA lelaki termasuk seorang anggota polis maut manakala isterinya parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jambatan Kusial, Tanah Merah, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
DUA lelaki termasuk seorang anggota polis maut manakala isterinya parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jambatan Kusial, Tanah Merah, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Mohamed Sahidi Yusof


DUA lelaki termasuk seorang anggota polis maut manakala isterinya parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jambatan Kusial, Tanah Merah, petang ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa, Koperal Ahmad Izani Mohd Yusoff, 37, yang bertugas di Balai Trafik Kuala Krai bersama isterinya yang berusia 30-an menunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 1000 dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju ke rumah mereka di Tanah Merah.

Sebaik sampai di lokasi kejadian, motosikal mereka bertembung dengan motosikal Yamaha Ego ditunggang seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pertembungan itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal maut di lokasi kejadian.

“Isteri anggota polis yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kuala Krai parah.

"Mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat serta rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 8:11 PM