Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


DUA bersaudara warga India didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini terhadap dakwaan memperdagangkan lima wanita warga sama, bulan lalu. Tertuduh, Balan Raju, 40, dan Chirra Usharani, 35, yang tinggal di Taman Bukit Delima, Seremban mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memperdagangkan lima wanita berusia 28 hingga 42 tahun bagi maksud eksploitasi seks di Taman Bukit Delima pada 5.30 petang, 24 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Haron, manakala tertuduh diwakili peguam A Prema.

Terdahulu, Nurhafiza memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh adalah warga asing, dan cop keselamatan tamat tempoh.

Namun, Prema meminta mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, kerana mereka mempunyai saudara yang bekerja sebagai pemandu lori di negera ini, dan boleh mengikat jamin dua saudara itu.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 22 Mac ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 2:37 PM
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa memperdagangkan lima wanita warga India di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang didakwa memperdagangkan lima wanita warga India di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad