KEMALANGAN maut yang mengorbankan penumpang wanita manakala anak dan bapanya cedera. FOTO ihsan Bomba
KEMALANGAN maut yang mengorbankan penumpang wanita manakala anak dan bapanya cedera. FOTO ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


WANITA maut manakala anak dan bapanya cedera selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di lampu isyarat Batu Gajah Sentral, Jalan Pusing, Batu Gajah, malam tadi.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, Fauzidah Ahmad, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Bapanya berusia 73 tahun yang memandu kereta itu parah di dada dan kepala manakala anak Fauzidah berusia lapan tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Pusing menghala ke pekan Batu Gajah sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kereta itu kemudian terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu isyarat.

“Akibat kemalangan itu, penumpang tempat duduk hadapan tercampak keluar dari kenderaan sebelum dia meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu kereta parah di beberapa bahagian badan termasuk dada, leher dan kepala manakala penumpang kanak-kanak cedera ringan,” katanya ketika dihubungi Batu Gajah, hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, mayat Fauzidah dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat pagi ini.

“Bapa mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut manakala anak mangsa dirawat di Hospital Batu Gajah,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit adalah simpang empat dan terletak di kawasan bandar.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Gambar Ihsan bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 10:39 AM