Suffian  (kiri) menunjukkan alat pemotong kabel yang digunakan anggota Geng Awang Cenneh  di IPD  Kuala Terengganu, semalam.
Suffian (kiri) menunjukkan alat pemotong kabel yang digunakan anggota Geng Awang Cenneh di IPD Kuala Terengganu, semalam.
Helmy Abd Rahman

Kuala Terengganu: Polis percaya dapat menyelesaikan sebahagian besar kes kecurian kabel milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia di Kuala Nerus hasil penahanan tiga anggota Geng Awang Cenneh, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, 11 kes kecurian kabel milik TNB dan Telekom Malaysia dilaporkan di Kuala Nerus sepanjang Januari tahun ini.

Malah, katanya, kelmarin empat kes kecurian dilaporkan, manakala sepanjang tahun lalu, 40 kes kecurian kabel berlaku di daerah sama.

“Hasil risikan dan intipan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama Ketua Polis Balai Gong Badak, kami memberkas suspek pertama berusia 22 tahun di Jalan Pak Damat, Gong Badak jam 4 petang semalam (kelmarin).

“Penahanan suspek membawa kepada penemuan satu guni berisi kulit kabel di ruang tamu rumahnya yang isi tembaganya tiada dipercayai sudah dijual serta pemotong besi.

“Susulan penahanan suspek pertama itu, kami menahan dua suspek berusia 34 dan 39 tahun di Kampung Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, jam 6.30 petang,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Terengganu di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah methamphetamine.

“Ketiga-tiga suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau. Suspek berusia 22 tahun dan yang bekerja sebagai kelindan lori mempunyai tiga rekod lampau membabitkan ugutan jenayah serta dua kes dadah.

“Suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai tukang cat mempunyai rekod kes curi dan dadah, manakala suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai tukang rumah pernah ditahan atas dua kes dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel dan telegraf serta 379 KK kerana mencuri.

“Kabel yang ditemui berukuran 40 meter panjang dan semua suspek direman sehingga 9 Februari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 10:43 AM