Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib (kiri) semasa sesi soal jawab bersama sebahagian golongan mak nyah majlis Temu Murni Bersama Komuniti yang Disayangi. (Gambar kecil) Mohd Bakri Abu Bakar. FOTO Ghazali Kori
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib (kiri) semasa sesi soal jawab bersama sebahagian golongan mak nyah majlis Temu Murni Bersama Komuniti yang Disayangi. (Gambar kecil) Mohd Bakri Abu Bakar. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


“DOAKAN saya terus istiqamah kerana dugaan cukup hebat,” kata Mohd Bakri Abu Bakar, 55, bekas mak nyah yang ditemui selepas majlis Temu Murni Bersama Komuniti Yang Disayangi di Kuala Terengganu, semalam.

Mohd Bakri yang sebelum ini dikenali sebagai Kak Jun dalam kalangan mak nyah kini kembali ke pangkal jalan selepas lebih 25 tahun terjebak.

Anak kelima daripada lapan beradik berkata, dia yang suka bermain bersama rakan perempuan ketika kecil menyebabkan timbul naluri menjadi wanita.

"Saya suka main masak-masak dengan kawan-kawan perempuan dan ketika itu hanya sekadar suka-suka tetapi hingga satu tahap menyebabkan berasa saya adalah perempuan selain naluri yang suka berpakaian cantik.

"Naluri itu semakin kuat apabila saya berada di tingkatan empat dan saya mula keluar rumah untuk mencari keseronokan bersama rakan senasib kerana ketika itu keluarga seolah-olah tidak faham apa yang saya alami.

"Waktu itu, saya anggap kawan-kawan adalah keluarga dan disebabkan sering keluar, saya mula berjumpa dengan golongan mak nyah di lorong dan tertarik untuk menjadi sebahagian daripada mereka sebab dapat berpakaian cantik," katanya yang berasal dari Pahang.

Mohd Bakri berkata, dia tidak menyangka apabila berpakaian cantik menyebabkan ada pihak yang akan membayar sehingga menyebabkan dia terjerumus dalam gejala tidak sihat.

"Saya tidak tahu ia boleh dijadikan sumber pendapatan namun disebabkan naluri yang ada selain keadaan waktu itu menyebabkan akhirnya terjebak dan menerima bayaran antara RM10 hingga RM12.

"Bayaran diterima tidak setinggi mana tetapi ia cukup membuatkan saya puas," katanya yang sudah dua kali menunaikan umrah.

Ketika ditanya punca dia berubah, Mohd Bakri berkata, kesedaran untuk kembali ke pangkal jalan kerana kuasa Allah ketika dia berusia 46 tahun.

"Saya tidak dapat jawab mengapa saya berubah. Apa yang boleh saya cakap, Allah SWT yang gerakkan hati saya untuk berubah tetapi tidak mudah untuk berubah kerana dugaannya cukup hebat.

"Bagaimanapun, bantuan orang sekeliling termasuk ustaz dan doktor yang sentiasa membimbing serta memberi sokongan membawa saya kembali ke jalan yang benar.

"Pernah terbabit dalam kegiatan tidak bermoral membuatkan saya sedar dan ingin nasihatkan golongan muda supaya jangan mula bertapak dalam dunia mak nyah ini kerana susah untuk kembali dan banyak dugaannya jika sudah terjebak.

"Saya anggap ia pengalaman hidup saya kerana bukan semua diuji seperti ini dan harap saya terus istiqamah," katanya yang kini berniaga roti canai di Kuantan, Pahang.

Mohd Bakri berkata, masyarakat terutama keluarga perlu memainkan peranan penting jika mempunyai anak atau ahli keluarga yang baru berjinak atau terbabit dalam kancah itu.

"Jangan paksa, desak atau buang mereka sebaliknya dekati mereka dan terus menyokong mereka agar mereka tidak terpinggir dan terus bergelumang dalam dunia 'mak nyah'," katanya.

Dia turut meluahkan perasaan kecewanya dan terkilan kerana ibu bapanya tidak sempat melihatnya berubah kerana meninggal dunia.

"Arwah bapa meninggal dunia pada 1996 ketika saya masih remaja manakala ibu pula ketika saya berusia 40 tahun.

"Saya sedih sebab mereka terutama ibu tidak dapat lihat saya berubah tetapi saya bersyukur kerana hubungan saya dan ahli keluarga yang lain semakin rapat.

"Bukan bermakna mereka membuang saya sebelum ini tetapi perubahan ini mendekatkan lagi hubungan kami adik-beradik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 5:44 PM