KENDERAAN dinaiki mangsa.
KENDERAAN dinaiki mangsa.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Empat cedera termasuk tiga daripadanya penceramah bebas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas di tepi jalan dalam kejadian di Kilometer 200.9, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.04 petang, penceramah bebas yang memandu Nissan Grand Livina Mohd Murtadza Mohd Yussof, 30, bersama penumpang hadapan, Mohamad Wadi Annuar Ayub, 35, parah.

Manakala, rakan mereka Muhd Hambali Zulkifli, 28 dan bapa kepada Mohd Murtadza dikenali Mohd Yussof penumpang belakang kenderaan itu cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki tiga penceramah bebas dan seorang bapa kepada penceramah itu dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri lebuh raya.

Menurutnya, semua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kenderaan, Mohd Murtadza parah di kepala, manakala rakannya Mohamad Wadi Annuar yang duduk di bahagian penumpang hadapan, patah bahu kanan dan cedera di kepala.

Seorang rakan mereka serta bapa kepada pemandu hanya cedera ringan dan semua mereka dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:53 AM