IDRIS (kiri) menyampaikan insentif ADAM50 bernilai RM200 kepada seorang daripada ibu di wad bersalin HSA. FOTO Mohd Sabran Md Sani
IDRIS (kiri) menyampaikan insentif ADAM50 bernilai RM200 kepada seorang daripada ibu di wad bersalin HSA. FOTO Mohd Sabran Md Sani
Mohd Sabran Md Sani


SEPULUH bayi terawal yang lahir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pagi ini, antara bayi bertuah menerima Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Majlis penyampaian insentif tabung permulaan RM200, kit simpanan dan hamper keperluan bayi disampaikan Timbalan Presiden dan Ketua Operasi Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Idris Kechot dalam lawatan rasminya ke hospital itu, pagi ini.

Idris yang diiringi Pengarah HSA, Dr Aman Rabu berkesempatan melawat semua bayi Tahun Baru 2018 sekali gus menyampaikan insentif unit amanah itu sebagai dana tabungan permulaan bayi.

Simbolik penyampaian insentif RM200 itu disampaikan Idris kepada wakil ibu bapa bayi tahun baru, Bahrin Rizal, 25, di Dewan Kenanga HSA.

Bahrin berkata, dia yang mewakili ibu bapa bagi anak tahun baru 2018 menghargai insentif diberikan kerajaan menerusi PNB.

"Ribuan terima kasih kami di atas penghargaan ini, malah ia rezeki tak disangka-sangka," katanya.

Dia yang memiliki bayi sulung bersyukur kelahiran bayi tahun baru pada 3.50 pagi itu menceriakan keluarganya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Izam Suleiman berkata, pihaknya berterima kasih kepada PNB kerana memilih HSA sebagai lokasi penyerahan insentif itu di negeri ini.

"Hari ini 1 Januari 2018, ADAM50 dilancarkan dan HSA terpilih sebagai lokasi pelancaran pemberian insentif itu.

"Tahniah PNB kerana melaksanakannya dan ia memberi gambaran baik mengenai keprihatinan kerajaan dalam memberikan insentif kepada bayi tahun baru 2018," katanya.

Katanya, bagi tempoh lapan jam pertama, sebanyak 34 kelahiran dicatatkan di seluruh negeri dengan 10 kelahiran direkodkan di HSA.

"Malah sepanjang 15 tahun, HSA mencatatkan kelahiran tertinggi di seluruh negara hingga merekodkan 26,000 bayi dalam tempoh setahun," katanya.

Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang dilaksanakan bermula 1 Januari 2018 dianggar memanfaatkan 2.8 juta bayi Malaysia.

Melalui ADAM50, semua bayi warganegara Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2022 akan menerima unit insentif percuma sebanyak 200 unit.

Ia akan dikreditkan secara automatik selepas proses pendaftaran dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga mereka ke dalam tabung unit amanah kendalian Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh PNB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 4:50 PM