Penyelam melakukan usaha mencari Leftenan Kolonel Abd Rashid Shahdan, 54, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Pengkalan Durian, Linggi, Port Dickson. - Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Penyelam melakukan usaha mencari Leftenan Kolonel Abd Rashid Shahdan, 54, yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Kampung Pengkalan Durian, Linggi, Port Dickson. - Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Raja Noraina Raja Rahim


TENTERA darat menggerakkan pasukan bagi membantu operasi pencarian pegawai kanannya, Leftenan Kolonel Abdul Rashid Shahadan, 54, yang dikhuatiri lemas di lombong pasir, Sungai Linggi, Port Dickson, hari ini.

Tentera darat dalam kenyataan berkata, empat pasukan terbabit dalam operasi pencarian itu.

Seramai tiga pegawai dan 15 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) serta pasukan 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), terbabit dalam operasi.

Turut sama anggota dari Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dari Kem Terendak, Melaka bersama tiga bot dan peralatan mencari.

Selain itu, dua pegawai dan lapan anggota termasuk enam penyelam dari Pusat Latihan Pasukan Khas (PULPAK) Kem Sungai Udang, Melaka, turut digerakkan ke lokasi kejadian.

Sehingga 8 malam ini, mangsa belum ditemui dan usaha mencari diteruskan dengan pencarian di permukaan air.

Aktiviti menyelam dihentikan pada 6.30 petang dan dijangka disambung esok jika mangsa masih belum ditemui.

Mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika cuba menyeberangi satu saliran di lombong berkenaan, kira-kira 8 pagi, hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Leftenan Kolonel hilang dalam lombong

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 10:04 PM