Annapurane
Annapurane
HM Digital

Georgetown: Seorang wanita warga Australia, Annapurane Jenkins, 65, dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke hotel penginapan sejak 13 Disember lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa dilaporkan keluar dari bilik hotel untuk ke klinik pergigian di Pulau Tikus.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan siasatan awal, sejurus mangsa selesai membuat rawatan, dia meminta pekerja klinik mendapatkan perkhidmatan Uber untuk pergi ke rumah kebajikan, Little Sister of Poor di Batu Lancang.

Beliau berkata, semasa dalam perjalanan, mangsa meminta pemandu Uber menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa dekat sekolah Tamil.

“Mangsa hilang sejak hari itu dan laporan polis dibuat suaminya,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Balai Polis Jalan Patani di talian 04-2181884 atau 019-4117572.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:17 AM