Mary Victoria Dass


DUA lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Batuan Tengah di Kota Tinggi, petang semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada Abu Bakar Maritime Base (ABMB) pada 4.20 petang semalam.

Beliau berkata, mengikut maklumat awal, dua pemancing itu dilaporkan berpaut pada bot yang karam berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun ketika bot peronda Maritim ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, bot berkenaan didapati karam sepenuhnya manakala kedua-dua mangsa gagal ditemui.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Tan Soon Heng, 35, dan Chan Chong Kuok, 51, berasal dari Johor Bahru.

"Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan hingga kini.

"Ia membabitkan 30 anggota penyelamat dengan menggunakan aset Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya.

Sanifah berkata, pihaknya memandang serius terhadap kes kejadian seumpama itu.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah persediaan awal ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan memandangkan cuaca pada masa kini yang tidak menentu," katanya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 2:06 PM