LELAKI warga Bangladesh yang ditahan kerana cuba menyogok pengawal keselamatan.
LELAKI warga Bangladesh yang ditahan kerana cuba menyogok pengawal keselamatan.
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Ejen atau ‘ulat Bangla’ mampu mengaut keuntungan mudah apabila menyediakan perkhidmatan khas dengan bayaran RM30 bagi meminjam bank draf palsu kepada rakan senegara untuk mempercepatkan urusan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang, di sini.

Ini berikutan warga Bangladesh yang mahu memperbaharui pasport, permit dan lain-lain urusan imigresen perlu berbaris panjang, kecuali jika membuat pembetulan kesilapan di pasport dan pas perjalanan akan diberikan pengecualian untuk beratur.

Sumber berkata, modus operandi itu dipercayai sudah lama ditawarkan ejen terbabit kepada rakyat senegara yang menggunakan khidmat mereka untuk menguruskan permit dan dokumen lain di pejabat kedutaan berkenaan.

Menurutnya, warga Bangladesh yang mahu membetulkan kesilapan di pasport dan pas perjalanan mereka diberi keutamaan untuk berurusan di pejabat terbabit, sedangkan urusan imigresen lain perlu beratur bagi mendapatkan nombor giliran.

“Masa untuk dua urusan (pembetulan kesilapan di pasport dan pas perjalanan) begitu terhad antara jam 9 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi urusan lain adalah sepanjang waktu pejabat.

“Berikutan itu, segelintir ejen atau ‘ulat Bangla’ mengambil kesempatan menawarkan khidmat pinjaman bank draf palsu itu kepada warga Bangladesh yang mahu ‘memotong’ barisan atau mahu cepat,” katanya.

Katanya, kegiatan itu terbongkar apabila pengawal keselamatan di wisma berkenaan berjaya mengesan seorang lelaki Bangladesh berusia 30-an yang memiliki bank draf palsu itu dan soal siasat mendapati ia sebenarnya didalangi ‘ulat Bangla’ dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Rabu lalu.

“Apabila pihak pengurusan membuat pemeriksaan, mereka mendapati nama pada borang dan bank draf berbeza sedangkan mengikut peraturan kedua-duanya perlu sama.

“Lelaki Bangladesh itu kemudian menunjukkan ‘ulat Bangla’ yang meminjamkan bank draf palsu berkenaan. Untuk tujuan melepaskan diri, lelaki berkenaan cuba menyogok pengawal keselamatan dengan bayaran RM700 tetapi dia kemudian ditahan untuk tindakan,” katanya.

Katanya, berikutan itu, pengurusan wisma itu kemudian membuat laporan polis sebelum menyerahkan ejen berusia 30-an terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Han Chee Rull ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai kegiatan ulat Bangladesh yang mampu mengaut keuntungan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dengan menjadi ejen atau ulat menguruskan permit kerja dan dokumen perjalanan.

Susulan daripada laporan itu, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan tujuh lelaki warga Bangladesh dipercayai ‘ulat’ untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 9:19 AM