IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Ekhwan Haque Fazlul Haque


TIGA puluh enam penghuni Rumah Panjang Gawan, Jalan Melekun, di Kapit, cemas apabila berlaku tanah runtuh pada awal pagi ini.

Bagaimanapun, tidak membabitkan kecederaan terhadap empat keluarga yang menghuninya, dalam kejadian kira-kira 2 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Erwandy Tugor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.17 pagi.

Menurutnya, keseluruhan empat rumah yang terletak di lereng bukit itu terjejas dan tiga daripadanya terjejas di bahagian dapur manakala sebuah rumah ditimbus sepenuhnya.

“Rumah yang terjejas sepenuhnya itu kebetulan kosong kerana penghuninya pulang ke kampung sejak beberapa hari lalu.

“Penghuni rumah lain sedang tidur. Mereka kata dengar gegeran kuat di belakang dapur. Tapi, sempat lari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sehingga ini, katanya, bomba masih memantau keadaan di lokasi sekiranya masih berlaku pergerakan tanah.

Katanya, kejadian dipercayai akibat hujan lebat di Kapit, semalam, namun cuaca semakin pulih hari ini.

Penduduk dinasihatkan untuk mengosongkan kediaman masing-masing untuk sementara waktu kerana masih berisiko.

“Bomba akan terus menjalankan pemantauan di lokasi kejadian bersama agensi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 8:39 AM