Helikopter jatuh di landasan ketika hendak berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
Helikopter jatuh di landasan ketika hendak berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
Razik Zayad

POLIS Sabah mengesahkan semua empat kru terselamat selepas helikopter terjatuh ketika mahu berlepas dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), 4 petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din menerusi akaun Twitternya mengesahkan kejadian berkenaan.

"Syukur, tiada kecederaan serius kepada empat kru heli (helikopter) yang jatuh ketika berlepas di T2 (Terminal 2) KKIA petang tadi (semalam)," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) KKIA Sunif Naiman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.15 petang.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota penyelamat termasuk bomba dikejarkan ke lokasi.

Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian, helikopter jenis AS355-F2 itu dikatakan dinaiki empat individu dan terjatuh ketika mahu berlepas.

"Helikopter terbabit dinaiki oleh empat orang termasuk juruterbang yang tiba-tiba terjatuh di landasan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

"Hasil pemeriksaan awal, kejadian itu dipercayai disebabkan helikopter itu kehilangan kuasa sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 12:36 PM