IDRIS menceritakan kejadian diserang lebah ketika menunggang motosikal. FOTO Nazri Abu Bakar
IDRIS menceritakan kejadian diserang lebah ketika menunggang motosikal. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PESARA tentera nyaris terbabit kemalangan selepas disengat lebah ketika sedang menunggang motosikal berhampiran susur ke Loji Pemprosesan Minyak Petronas Sungai Udang, Melaka Tengah, 2 petang semalam.

Idris Jaafar, 53, berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan dari bandar raya Melaka untuk pulang ke rumahnya di Sungai Udang kerana mempunyai urusan peribadi.

Mangsa menganggarkan lebih 200 ekor lebah berada dalam kumpulan itu namun bersyukur kerana hanya beberapa ekor sahaja yang menyerangnya.

"Saya nampak kumpulan serangga itu sedang terbang melintasi jalan tapi tidak sempat mengelak, menyebabkan beberapa ekor lebah sesat masuk ke dalam topi keledar lalu saya disengat di muka dan leher.

"Bisanya tak boleh nak cakap hingga saya hampir pitam, risau motosikal terbabas saya berhenti di bahu jalan dan ketika itu lapan ke 10 ekor lebah masih melekat di muka," katanya.

Katanya, dalam keadaan cemas itu dia nekad memecut motosikal ke Klinik Kesihatan Sungai Udang terletak tidak jauh dari lokasi bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Dia bersyukur kerana sempat sampai di klinik dan pegawai perubatan memberitahu rawatan awal diterima selain daya tahan badan menyebabkan dia tidak mengalami komplikasi lebih serius akibat bisa sengatan serangga itu.

"Difahamkan saya adalah penunggang kedua disengat lebah ketika melalui kawasan itu. Menurut penduduk kejadian pertama berlaku dua bulan lalu, menyebabkan penunggang terbabit pitam sejurus terkena sengatan lebah di tangan.

"Mujur juga topi keledar saya pakai dilengkapi pelindung muka, kalau tidak mungkin saya kena lebih banyak sengatan. Harap pengguna lain lebih berhati-hati bagi mengelakkan daripada ditimpa kejadian sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:23 PM