Tertuduh dibawa keluar mahkamah. FOTO Hatim Mana
Tertuduh dibawa keluar mahkamah. FOTO Hatim Mana
Nur Saliawati Salberi

PEMETIK buah kelapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan merogol kenalan adiknya, tiga tahun lalu.

Tertuduh Malik Redzuan Mohamed, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah di Jasin, di antara 1 hingga 4 petang, pada Februari 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob, yang mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jumlah jaminan yang rendah dengan alasan dia hanya bekerja sebagai pemetik buah kelapa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 11:40 AM