Permintaan terhadap kayu getah semakin meningkat. FOTO arkib NSTP
Permintaan terhadap kayu getah semakin meningkat. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


PERMINTAAN perabot kayu getah yang tinggi di Eropah mendorong lebih ramai pemborong memindahkan hasil terbabit tanpa membayar cukai kepada kerajaan.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) Mohd Rahim Ramli berkata, sejak awal tahun ini, sebanyak 20 kes direkodkan pemandu lori gagal menunjukkan lesen mengangkut kayu itu.

“Pihak kami difahamkan pemborong kini bersaing untuk membeli kayu getah sehingga ada yang sanggup membayar RM10,000 kepada pemilik kebun bagi setiap hektar kayu getah yang ditebang.

“Namun bagi mengelak daripada membayar cukai, mereka tidak memohon lesen daripada JPNK dan bertindak membelakangkan undang-undang demi keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Restorasi Hutan Bersepadu (NBOS) di kompartmen 36, Hutan Simpan Bukit Perak, Pendang, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Silvikultur dan Perlindungan Hutan JPNK, Mohamad Firdaus Abdul Kadir dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan dan Pengurusan Tanah) daerah Pendang, Amirah Khairiah Abd Latiff.

Mohd Rahim berkata, kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada pemborong kayu getah yang ingkar mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara (Pindaan 1993).

"Sejak aktiviti mengangkut kayu getah digazetkan dalam akta itu pada awal tahun ini, ia menjadi cabaran terbaru buat anggota penguat kuasa JPNK untuk meningkatkan rondaan supaya tidak berlaku ketirisan.

“Sifat kayu getah yang berwarna putih memudahkan proses mengecat kayu terbabit selain ia juga kelihatan unik tanpa cat apabila dijadikan perabot. Orang Eropah sangat meminati perabot sebegini, sebab itu ramai yang ambil kesempatan," katanya.

Sementara itu, Mohamad Firdaus berkata, pihaknya memperuntukkan RM320,000 bagi menanam semula pokok di kawasan hutan simpan seluas 100 hektar yang musnah akibat terbakar serta penerokaan haram.

“Contohnya hari ini melalui NBOS seramai 150 kakitangan daripada JPNK, Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), polis dan Jabatan Kerja Raya (JKR), bergotong-royong menanam 2,000 anak pokok kelampayan termasuk meranti tembaga dan merawan siput jantan di kawasan seluas 10 hektar bagi memastikan hutan simpan Bukit Perak dipulihara.

“Hutan yang terosot di sini membabitkan keluasan 25 hektar, selebihnya pihak JPNK akan tanam secara berperingkat dan diteruskan lagi di Hutan Kekal Gunung Bongsu, Kulim serta daerah lain bagi memulihara hutan.

“Setiap hektar memerlukan kos RM3,200 bagi proses tanam semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 10:02 PM