Ismail Menk
Ismail Menk
Asrizal Aris

 

GABUNGAN ulama Muslim di Zimbabwe mempertahankan mufti mereka, Ismail Menk yang diharamkan oleh kerajaan Singapura memasuki negara berkenaan kerana didakwa ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan agama bukan Islam.

Majlis Ulama Islam Zimbabwe (MUZ) dalam satu kenyataan mempersoalkan dakwaan mengatakan Ismail Menk memecah belah masyarakat berbilang agama serta melarang umat Islam mengucap 'Merry Christmas' atau 'Happy Deepavali'.

Presiden MUZ, Shaikh Umar Phiri berkata, pihaknya mempunyai rakaman bahawa Menk tidak pernah mengatakan larangan untuk mengucap selamat ketika menyambut perayaan agama lain.

"Beliau hanya mengajar bahawa setiap orang mempunyai hak yang sama rata untuk meraikan perayaan mereka tanpa sebarang ketakutan atau sekatan.

"Beliau menyatakan pendapat bahawa ucapan inklusif seperti 'Salam Sejahtera', 'Selamat Bercuti' dan "Selamat Menjalani Hari Yang Baik' adalah lebih baik," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, dia menggesa agar pihak yang menyalahkan mufti terbabit supaya mendengar khutbah Menk secara penuh dan bukan klip video yang diedit menjadi beberapa minit.

Katanya, dakwaan mengatakan Menk memecah belah masyarakat adalah satu perkara yang tidak bagus, tidak adil dan dilakukan tanpa memahami maksud yang sering disampaikan oleh mufti terbabit.

"Kami diberi klip video yang sangat ringkas yang digunakan untuk membuktikan tuduhan terhadap mufti kami. Kami percaya keputusan ini salah dibuat.

"Menk menjadi aset kepada Zimbabwe yang mempunyai penduduk berbilang budaya dan agama namun kita tidak pernah melihat ketegangan agama berlaku disebabkan ceramahnya," katanya.

Phiri berkata, Menk mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemimpin dan individu ternama serta sebagai rakyat Zimbabwe, pihaknya berbangga dengan pencapaiannya di peringkat antarabangsa sejak dua dekad lalu.

Isnin lalu, kerajaan Singapura mengharamkan dua pendakwah iaitu Menk dan Ustaz Haslin Baharim dari Malaysia memasuki negara itu berikutan pandangan yang boleh menjejaskan keharmonian sosial dan menyebarkan pandangan yang memecah belahkan rakyat.

Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan berkata, Ismail Menk dalam ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberikan ucap selamat bersempena perayaan individu berlainan agama.

Haslin pula dituduh membawa pandangan yang menggalakkan perpecahan di antara orang Islam dan bukan Islam, yang disifatkannya sebagai menyimpang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 11:54 PM