DEPUTI Superintendan Cyril Edward Nuing (tengah) bersama pegawainya menunjukkan basikal yang telah diubahsuaikan oleh remaja yang disitakan dalam Ops Lajak di sekitar Bandar Mersing. FOTO Mohd Sah Muda
DEPUTI Superintendan Cyril Edward Nuing (tengah) bersama pegawainya menunjukkan basikal yang telah diubahsuaikan oleh remaja yang disitakan dalam Ops Lajak di sekitar Bandar Mersing. FOTO Mohd Sah Muda
Mohd Sah Muda


POLIS Mersing menyita 28 basikal lajak dan menahan 28 remaja berusia antara 12 hingga 15 tahun di sekitar bandar Mersing, Johor, dalam Ops Lajak selama tiga hari berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing , Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, Ops Lajak dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berkenaan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak dalam keadaan berbahaya di sekitar bandar itu terutama pada hujung minggu.

"Berikutan itu, kami melakukan tangkapan dan rampasan serta memanggil semua ibu bapa remaja terbabit untuk memaklumkan bahaya penggunaan basikal lajak.

"Ketika sesi kaunseling dilakukan, kami dapati ibu bapa terbabit tidak sedar anak-anak mereka mempunyai basikal lajak kerana ia disimpan di rumah rakan.

"Hasil siasatan, kami dapati remaja berkenaan akan berkumpul dan menunggang basikal lajak di sekitar bandar Mersing selepas selesai kelas tambahan dan ia membahayakan nyawa mereka serta pengguna jalan raya lain," katanya selepas menyampaikan surat penghargaan kepada anggotanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 24 anggota pelbagai pangkat menerima sijil penghargaan atas pelbagai usaha mencegah jenayah.

"Ibu bapa perlu sentiasa peka dan memeriksa basikal anak masing-masing bagi memastikan ia tidak diubah suai hingga boleh membahayakan semua pengguna jalan raya.

"Sekiranya perkara ini berterusan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas ibu bapa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:36 PM