Mohd Farouk A Manap, 43, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek naik taraf infrastruktur plaza tol bernilai RM1.98 juta antara Oktober 2014 hingga Julai 2015 lalu. Foto Muhammad Sulaiman
Mohd Farouk A Manap, 43, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek naik taraf infrastruktur plaza tol bernilai RM1.98 juta antara Oktober 2014 hingga Julai 2015 lalu. Foto Muhammad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini


BEKAS pengurus projek dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan projek naik taraf infrastruktur plaza tol bernilai RM1.98 juta antara Oktober 2014 hingga Julai 2015 lalu.

Tertuduh, Mohd Farouk A Manap, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, Mohd Farouk didakwa menipu Pengarah Syarikat Tirai Jitu (M) Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa dokumen Sijil Perakuan Pendaftaran oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bernombor 100205A adalah tulen bagi mendapatkan projek menaik taraf Plaza Tol Skudai, Johor.

Tindakan berkenaan mendorong pengarah syarikat itu membayar sejumlah RM5,000 kepada tertuduh dan ia satu kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perbuatan itu dilakukan pada 31 Oktober 2014 di Batu Caves Centre Point, Gombak.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menggunakan sijil perakuan berkenaan yang diketahuinya palsu dan dilampirkan di dalam dokumen tender untuk dikemukakan kepada Projek Lebuhraya Utara Selatan(PLUS) pada 9 Julai 2015 bagi memperoleh projek menaik taraf Plaza Tol Skudai bernilai RM1.98 juta.

Perbuatan itu dilakukan antara Oktober 2014 hingga Julai 2015 di Batu Caves Centre Point,Gombak.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabila Kamaruddin memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula 22 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 12:00 PM