Farah Suhaidah Othman


TIGA puluh enam saman melebihi had laju dikeluarkan terhadap pemandu lori dan bas dalam operasi di lebuh raya PLUS zon utara awal pagi ini.

Operasi dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara 11 tengah malam tadi hingga 2 pagi ini.

Pegawai Turus Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman, Asisten Superintendan Hazil Reza Ghazali, berkata operasi membabitkan kira-kira 30 pegawai dan anggota.

Katanya, operasi diadakan di empat lokasi iaitu di Sungai Dua, Pulau Pinang; Kuala Kangsar, Ipoh dan Tapah di Perak, bagi mengesan kenderaan perdagangan memandu melebihi had laju.

“Dua puluh dua daripada 36 saman membabitkan pemandu lori manakala 14 lagi pemandu bas ekspres.

“Enam belas daripadanya pula akan diambil tindakan oleh SPAD terhadap pemilik kenderaan bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya ketika ditemui di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, hari ini.

"Operasi ini dijalankan sebagai langkah pencegahan daripada berlaku kemalangan dan peringatan kepada pemandu lori dan bas supaya mematuhi had laju.

“Kesalahan melebihi had laju menjadi antara salah satu punca kepada kemalangan di lebuh raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:13 AM
FOTO Farah Suhaida Othman
FOTO Farah Suhaida Othman