Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG konstabel polis antara dua yang ditahan bersama rampasan pelbagai jenis dadah di parkir kondominium di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, kelmarin.

Seorang lagi yang ditahan dalam pemeriksaan kira-kira 11.45 malam itu ialah wanita berusia 21 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek lelaki berusia 28 tahun dan wanita itu ditahan selepas pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah.

“Kita merampas 216 gram ketamin, 72 pil ekstasi, tujuh pil eramin 5 dan 16 gram syabu yang semuanya bernilai RM13,557.80," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah Perodua Viva dan wang tunai RM21,000.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu adalah anggota polis yang bertugas di sebuah balai polis Kontinjen Johor.

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jia sabit kesalahan," katanya.

Mohd Khalil berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa termasuk anggota polis yang terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

"Terima kasih kepada orang ramai yang bekerjasama dengan memberi maklumat ke atas sebarang kesalahan jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 2:39 PM