Norizuan Shamsuddin


POLIS sedang mengesan dua lelaki yang cuba menyamun sebuah kedai telefon di Taman Puchong Utama, Puchong, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku sewaktu pekerja premis terbabit bertugas sendirian pada 5.45 petang.

Katanya, mangsa didatangi dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Iswara dan salah seorang suspek memasuki premis berkenaan.

"Suspek bertanya sama ada mangsa sendirian di premis terbabit sebelum kembali ke kenderaan dan mengambil sesuatu.

"Dia dan rakannya kemudian kembali ke dalam kedai telefon serta mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mangsa.

"Bagaimanapun mangsa bertindak melarikan diri ke bilik belakang dan mengambil parang serta mengejar dua suspek terbabit apabila menyedari senjata digunakan adalah pistol mainan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Kejadian turut menjadi tular apabila video rakaman kamera litar tertutup sewaktu kejadian di premis terbabit tersebar di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:31 AM
Dua suspek (kanan) berpura-pura bertanya mengenai telefon bimbit sebelum melakukan rompakan. FOTO ihsan polis
Dua suspek (kanan) berpura-pura bertanya mengenai telefon bimbit sebelum melakukan rompakan. FOTO ihsan polis