Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS tahan tiga warga Indonesia, termasuk dua wanita, di sebuah rumah di Kampung Tasik Permai Ampang di sini Selasa lalu, kerana terbabit memalsukan dokumen kerajaan.

Sindiket ini terbabit memalsukan antaranya MyKad, E-kad, visa imigresen dan kad permastautin tetap sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, serbuan membawa kepada penemuan 34 MyKad tanpa butiran, lapan E-kad, enam kad CIDB, satu pencetak dan pelbagai peralatan digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

“Taktik sindiket yang mempunyai rangkaian sendiri ini ialah menghampiri pelanggan berpotensi sebelum mengenakan bayaran RM400 bagi setiap jenis dokumen.

“Kami masih mengesan individu lain yang terbabit dengan sindiket ini. Pada masa sama, kami turut membuat semakan dengan agensi berkaitan sama ada dokumen disediakan sindiket boleh diakses atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Hamzah berkata, semua suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:24 PM
Hamzah menunjukkan dokumen palsu dirampas daripada tiga warga Indonesia. FOTO Hafiz Sohaimi.
Hamzah menunjukkan dokumen palsu dirampas daripada tiga warga Indonesia. FOTO Hafiz Sohaimi.