Sultan Sharafuddin  berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada  Mohammad Adib, semalam.
Sultan Sharafuddin berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohammad Adib, semalam.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor baru, Mohammad Adib Husain dalam majlis istiadat di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Pelantikan yang berkuat kuasa sejak 3 Julai lalu itu dibuat mengikut Seksyen 56 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mohammad Adib, 49, menggantikan Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar yang dinaikkan pangkat sebagai Hakim Rayuan Syariah
di Jabatan Kehakiman Syariah.

Mohammad Adib yang sebelum ini Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah negeri berkata, dia bersyukur dengan pelantikan itu yang dianggap amanah dan tanggungjawab besar perlu dipikulnya.

“Saya berazam melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh tawaduk berpandukan peraturan dan undang-undang ditetapkan.

“Selain itu, saya mahu supaya segala perintah dikeluar dapat dikuatkuasakan dan dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak bagi memastikan ia memberi kesan atau manfaat kepada mereka terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 7:02 AM