Kotak mengandungi rokok seludup yang dirampas PPM. FOTO ihsan PPM
Kotak mengandungi rokok seludup yang dirampas PPM. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 650 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM61,100 dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan hutan berdekatan Loji Sultan Iskandar, Johor Bahru, semalam.

Dalam Op Gelora Khas/Landai kira-kira 9 malam itu, pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua Johor terlebih dulu mengesan Honda Stream bernombor pendaftaran Singapura itu yang kelihatan mencurigakan di kawasan Felda Cahaya Baru Masai, Johor Bahru.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, pihaknya mengikut kenderaan terbabit sebelum memintasnya di kawasan hutan berhampiran Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, Johor Bahru.

"Dua suspek lelaki yang berada dalam kenderaan bagaimanapun melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran dengan meninggalkan kenderaan itu yang enjinnya masih hidup.

"Kedua-dua suspek gagal dikesan selepas lebih sejam usaha mencari dan mengesan dijalankan.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui 13 kotak mengandungi 650 karton rokok jenama JM9 White yang ditutupi dengan kain hitam," katanya.

Menurutnya, semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Markas PPM Wilayah Dua Johor untuk proses dokumentasi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 3:28 PM