MUHAMMAD Izeham  menunjukkan gambar arwah bapanya,  Hamzah yang memperoleh penganugerahan daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas kerana jasanya kepada negara ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.
MUHAMMAD Izeham menunjukkan gambar arwah bapanya, Hamzah yang memperoleh penganugerahan daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas kerana jasanya kepada negara ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.
Nur Izzati Mohamad


Seberang Jaya: “Ayah sudah lama menyimpan hasrat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji, namun disebabkan tahap kesihatannya tidak menentu menyebabkan dia tidak terpilih,” kata Muhammad Izeham Hamzah, 29, anak bongsu kepada jemaah haji, Hamzah Hashim, 73, yang meninggal dunia di Makkah, Rabu lalu.

Muhammad Izeham berkata, bapanya tidak berputus asa mencari jalan untuk menunaikan haji biarpun namanya tidak tersenarai pada musim haji lalu kerana sudah tidak sabar melaksanakan Rukun Islam kelima itu sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, beberapa rayuan kepada pihak Tabung Haji (TH) diusulkan bapanya supaya diberikan giliran, namun ditolak memandangkan keadaan kesihatan bapanya ketika itu kritikal ekoran menghidap penyakit jantung dan pernah diserang strok hingga dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) dua tahun lalu.

“Keadaan ayah ketika itu agak serius dan beberapa kali jantungnya pernah terhenti beberapa minit hingga menyebabkan dia diserang strok, namun dengan kuasa Allah SWT, lama-kelamaan tahap kesihatannya semakin pulih dari dia tidak boleh berjalan kemudian mampu berjalan seperti biasa.

“Selepas sahaja pulih, dia menyuarakan niatnya yang mahu pergi menunaikan haji tetapi tidak diberikan peluang sehingga dia melihat tawaran dikeluarkan persatuan veteran tentera dan tidak sangka permohonannya lulus,” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Muhammad Izeham berkata, bapa dan ibunya, Siti Zunaidah Ahmad, 72, menaiki penerbangan ke Tanah Suci pada malam Selasa lalu dan baru beberapa jam tiba pada keesokan harinya, pihak pengurusan TH menghubungi abangnya memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia sebelum sempat melakukan sebarang rukun haji.

“Saya ada mendapat panggilan dari nombor Arab Saudi tetapi terlepas dan tidak menjawab kerana tidak menyedarinya, namun tidak lama selepas itu abang pula menghubungi saya memaklumkan kematian ayah.

“Pada mulanya saya tidak percaya dan terus menghubungi nombor itu, namun akhirnya saya reda kerana Allah SWT lebih menyayangi ayah dan dia meninggal di tanah suci pula yang menjadi dambaan semua umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, ibunya berada dalam keadaan baik di bawah jagaan dua saudaranya yang turut mengerjakan haji dan meminta anak sentiasa mendoakan kesihatan dan keselamatan untuk menghabiskan rukun haji sebelum pulang ke tanah air.

“Saya lega apabila ada saudara kami di sana yang menjaga ibu apatah lagi ibu berada dalam keadaan kurang sihat serta masih bersedih kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menguruskan jenazah arwah ayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 9:31 AM