LORI dipandu mangsa sebelum balak menghempapnya ketika ikatan rantai besi dibuka.
LORI dipandu mangsa sebelum balak menghempapnya ketika ikatan rantai besi dibuka.
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang pemandu lori menemui ajal selepas dihempap balak ketika membuka ikatan rantai besi kayu balak dipandunya di sebuah kilang papan di Chaah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Raub Selamat berkata, kejadian kira-kira 7.30 pagi ketika mangsa, Yaw Wu Chun menurunkan kayu balak di kilang pemprosesan kayu bergergaji di Kampung Kangkar 2, Chaah.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati beberapa saksi memaklumkan mendengar bunyi dentuman kuat di kilang itu.

“Ketika itu, mereka melihat badan mangsa dihempap kayu balak sebesar pemeluk lelaki dewasa.

“Mangsa kemudian dilaporkan saksi mati di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan, kaki dan kepala,” katanya ketika ditemui bagi mengesahkan mengenai kemalangan membabitkan pemuda berkenaan, semalam.

Katanya, berikutan itu mayat dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Waris mangsa dipercayai berasal dari Temerloh, Pahang dimaklumkan mengenai kejadian bagi menuntut ahli keluarganya itu,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan saksi kejadian diminta menghubungi IPD Segamat di nombor 07-9324222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, saksi di lokasi kejadian yang juga pekerja kilang papan dikenali sebagai Foo Ann Seng, 40-an berkata, terdapat sembilan balak lagi di atas lori ketika kejadian berlaku namun tidak jatuh ke atas badan mangsa.

Katanya, dia hanya menyedari kejadian itu sejurus mendengar bunyi kuat yang disangka guruh.

“Kebetulan hari mendung dan hujan renyai selain hanya mampu menjerit meminta pertolongan kepada rakan lain ketika itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:59 AM