BAS membawa jemaah haji dari Madinah ke Makkah berhenti rehat di stesen ditetapkan.
BAS membawa jemaah haji dari Madinah ke Makkah berhenti rehat di stesen ditetapkan.
HM Digital

Jeddah: Bagi memastikan kelancaran pergerakan membawa jemaah pada musim haji kali ini, Lembaga Tabung Haji (TH) menggunakan bas baru berusia satu hingga tiga tahun.

Pengurus Pusat Panggilan Kecemasan Lebuhraya (PPKL) Shafie Sharif berkata, pihaknya mendapatkan bas baru dengan paling lama berusia tiga tahun bagi membawa jemaah.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan kelewatan jika bas mengalami kerosakan terutama bagi perjalanan dari Madinah ke Makkah.

Menurutnya, pasukan peronda lebuh raya bertanggungjawab memastikan kelancaran perjalanan jemaah dari Jeddah ke Makkah, Jeddah ke Madinah dan Madinah ke Makkah.

“Pusat panggilan kita akan memantau pergerakan bas dan akan melaporkannya jika berlaku kerosakan dan kelewatan serta menggantikan bas yang rosak.

“Tahun ini, kita meminta syarikat pembekal menyediakan bas yang lebih baik iaitu model keluaran 2017, 2016 dan 2015,” katanya di Pusat Operasi Ar-Rayyan, di sini.

Katanya, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah ke Makkah sejauh 97 kilometer mengambil masa dua hingga tiga jam.

Bagi perjalanan dari Madinah ke Makkah pula sejauh 424 kilometer mengambil masa tujuh hingga lapan jam.

Beliau berkata, TH juga menetapkan bas membawa jemaah ke Makkah dari Madinah perlu berhenti di kawasan ditetapkan bagi membolehkan bas dan jemaah berehat selama jam.

“Berdasarkan pengalaman jika bas tidak berhenti, mudah berlaku kerosakan dan ada juga bas yang hanya digunakan pada musim haji.

“Ketika bas berhenti rehat, jemaah turut dibekalkan dengan makanan dan minuman,” katanya.

Setakat 7 Ogos lalu, TH sudah menggunakan 180 bas bagi membawa jemaah dari Madinah ke Makkah dan 116 bas lagi digunakan dari Jeddah ke Makkah.

Shafie berkata, PPKL mempunyai dua pasukan dianggotai tiga orang setiap satu yang bertugas di laluan Jeddah-Makkah dan Madinah-Makkah.

Menurutnya, bagi tugasan fasa dua pula, anggota PPKL akan fokus kepada tugasan operasi masyair bagi membawa jemaah ke Arafah, Mina dan Muzdalifah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:23 AM