MAHKAMAH  Tinggi Pulau Pinang semalam membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman terhadap  Phee.
MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang semalam membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman terhadap Phee.
HM Digital

Georgetown: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, semalam membenarkan permohonan semakan untuk membatalkan tempoh reman lima hari terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh bersama pengurus dan pengarah sebuah kilang haram yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown, Sabtu lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan terbabit selepas mempertimbangkan hujah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.

Bagaimanapun, hakim membenarkan SPRM untuk memohon semula perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Phee diwakili peguam Ramkarpal Singh, R S N Rayer dan Dev Kumareandran.

Ahad lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar menolak permohonan semakan untuk batalkan tempoh reman lima hari ke atas Phee yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Georgetown.

Semakan bagi membatalkan tempoh reman dibuat selepas peguam Phee berpendapat keputusan reman dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Georgetown Ameera Mastura Khamis tidak teratur dan tidak sah kerana keputusan dibuat tanpa mendengar hujah peguam mewakili Phee, pengarah dan pengurus kilang terbabit.

Jumaat lalu, Phee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu bersama dua beranak yang juga pengarah dan pengurus kilang itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap operasi sebuah kilang haram di tanah pertanian di Kampung Sungai Lembu, Penanti.

Penahanan itu susulan serbuan dijalankan SPRM bersama Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap kilang memproses habuk kayu bagi kegunaan penghasilan penapis karbon, Khamis lalu.

Penahanan Phee itu dikatakan dibuat berdasarkan beberapa surat arahan dikemukakan dan ditandatangani exco berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menangguhkan sebarang tindakan dikenakan ke atas pengarah dan pengurus kilang haram terbabit tahun lalu.

Terdahulu, Ketua Menteri Lim Guan Eng, barisan kepemimpinan DAP negeri serta ahli keluarga Phee turut hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 5:44 AM