Nabihah Kamal 

 

 

WANITA yang dirakam mencuri gelang di kedai emas di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi, Jumaat lalu, ditahan sehari selepas kejadian dan direman empat hari bermula Ahad lalu.

Wanita berusia 28 tahun yang juga janda sempat menggadai gelang dicuri di kedai pajak dan mendapat RM6,000.

Namun dia hanya membelanjakan RM1,650 untuk barang dapur dan keperluan rumah sebelum ditahan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, suspek yang diburu selepas rakaman video tular ditahan di kawasan Sungai Merab Luar.

Polis turut merampas semula wang sebanyak RM4,350 hasil gadaian gelang emas yang dicuri. 

 "Wanita itu direman selama empat hari yang berakhir esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

Sebelum ini, tular di Facebook (FB) rakaman kamera litar tertutup (CCTV) wanita melarikan gelang emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 di kedai emas di Bangi.

Wanita itu berpura-pura mencuba gelang yang dipilih sebelum melarikannya. 

 

Berita berkaitan:

Buru wanita curi gelang emas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 1:03 PM