Cahyono menunjukkan di cermin tingkap keretanya.
Cahyono menunjukkan di cermin tingkap keretanya.
myMetro

Kuantan: Biarpun pendapatannya sebagai pemandu teksi tidak seberapa, Cahyono Tandi, 57, masih boleh bermurah hati memberikan perkhidmatan teksi secara percuma kepada golongan orang kurang upaya, warga emas, pelajar sekolah dan wanita dalam kecemasan untuk bersalin di sekitar bandar ini.

Dia yang berasal dari Indonesia, namun mempunyai taraf pemastautin tetap (PR) di negara ini sudah membantu ramai golongan terbabit sejak tiga tahun lalu dengan melakukan kerja amal itu dan berharap ia akan menjadi ikutan kepada pemandu teksi lain.

“Saya tidak rugi sebaliknya Tuhan murahkan rezeki saya kerana orang yang saya bantu selalunya akan mendoakan untuk saya,” katanya yang tinggal di Kampung Kurnia, di sini, dan mempunyai seorang anak berusia 14 tahun.

Cahyono berkata, dia mula terbuka hati untuk membuat kerja amal itu selepas kejadian menumpangkan seorang pelajar sekolah, namun pelajar perempuan itu menangis apabila dia tidak cukup wang untuk membayar tambang.

“Padahal dia hanya tidak cukup 20 sen untuk bayar tambang tetapi mungkin sebab ketakutan, dia menangis dan kerana kasihankannya, saya memberikan tambang percuma. Sejak itu saya terbuka hati untuk melakukan kerja amal ini.

“Pengalaman yang sukar dilupakan sewaktu membantu seorang wanita dalam kesusahan dengan menghantarnya ke Kuala Lumpur tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 7:25 AM