Mat Razi (kiri) melawat rumah mangsa ribut di Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mat Razi (kiri) melawat rumah mangsa ribut di Pengkalan Kubor. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


KIRA-KIRA 30 rumah di tujuh kampung di Pengkalan Kubor, Tumpat terjejas susulan ribut petang semalam.

Kampung itu adalah Kampung Tujoh, Tebing, Kok Pauh, Pengkalan Kubor, Geting, Banjir dan Wakaf Neting.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail berkata, tinjauan dilakukan hari ini mendapati ada rumah yang rosak akibat dihempap pokok tumbang selain bumbung yang diterbangkan angin.

Beberapa kenderaan penduduk juga terjejas akibat bencana itu.

"Ada kira-kira 100 penduduk yang terbabit dan hari ini saya mewakili Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tumpat menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa.

"Mereka juga dinasihatkan supaya membuat laporan kerosakan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan untuk bantuan membaiki bahagian rumah yang rosak," katanya ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Tujoh, Sakinah Rashid, 50, berkata, kejadian itu menyebabkan rumahnya rosak teruk apabila dihempap pokok sentol dan pokok kelapa.

Ketika kejadian, dia tiada di rumah sebaliknya berada di Hospital Tumpat menemani anak perempuan yang mahu melahirkan anak.

"Hanya ada anak bongsu (Mohd Aidil Ikmal Mezah, 18) dan tiga rakannya sahaja. Kejadian itu berlaku pada 4.40 petang (semalam).

"Mereka berada di ruang tamu ketika itu dan hujan diikuti ribut kuat. Tidak lama kemudian, sebatang pokok sentol tumbang menimpa ruang tengah rumah menyebabkan mereka berempat melarikan diri ke dapur.

"Beberapa minit kemudian, pokok kelapa pula tumbang dan terkena sebahagian dapur rumah. Anak dan rakan-rakannya terpaksa berlari keluar kerana keadaan bahaya," katanya.

Kejadian kira-kira 10 minit itu meranapkan sebahagian besar rumah Sakinah yang dihuni lebih 30 tahun dan mereka lima beranak terpaksa tidur berhimpit di bahagian pangkin rumah, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 6:37 PM