Anggota polis membawa semua tertuduh ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Anggota polis membawa semua tertuduh ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. FOTO Muhaizan Yahya
Wan Asrudi Wan Hasan


LAPAN lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, di sini, hari ini atas tuduhan berhimpun dan merusuh menggunakan senjata di Bandar Baru Menglembu, awal bulan ini.

Tertuduh S Loggarajan, 27, R Satish Kumar, 27, A Joseph Raj, 29, M Ilageswaran, 28, P Velmurugan, 34, K Selva Ganapathy, 31, S Krishnan, 30 dan M Magiesvaran, 23, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di depan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Mereka secara bersama didakwa melakukan kesalahan di Lorong Kledang Timur 10, Bandar Baru Menglembu, di sini, pada 6.30 petang, 2 Julai lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menganggotai satu perhimpunan menyalahi undang-undang dan menggunakan senjata yang boleh membawa maut atau apabila digunakan sebagai senjata boleh menyebabkan kecederaan terhadap S Adwinray, 23, P Kechan Kumar, 21, dan S Sutagar, 29.

Siti Hafiza kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan penjara 14 hari terhadap Loggarajan; denda RM1,000 dan penjara tujuh hari kepada Joseph Raj, Selva Ganapathy, Velmurugan dan Magisvaran. Manakala, Satish Kumar, Ilageswaran dan Krishnan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Kamarul Abraf, manakala semua tertuduh diwakili peguam Farihah Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 7:57 PM