Farah Suhaidah Othman


LAPAN BELAS pondok penginapan di Madrasah Addiniah Al-Latifiah di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu musnah dalam kebakaran, 11.20 malam tadi.

Begitupun, semua 66 pelajar yang menginap di pondok yang dikenali sebagai Pondok Pak Teh berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.27 malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dibantu BBP Baling bergegas ke tempat kejadian.

"Anggota yang tiba di tempat kejadian mendapati api sedang marak membakar 18 pondok penginapan berukuran 3 meter x 4.5 meter yang terletak di belakang bangunan sekolah.

"Operasi pemadaman oleh anggota BBP Pengkalan Hulu menggunakan paip 120 meter dengan dua pancutan dari sebelah kanan sekolah.

"Anggota BBP Baling menggunakan paip 90 meter dengan dua pancutan dari kiri sekolah menggunakan sumber pili bomba berhampiran," katanya di Pengkalan Hulu, hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 1.36 pagi dengan semua pondok penginapan itu musnah 90 peratus, manakala sebuah surau berkeluasan mengalami kerosakan kecil akibat bahang api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 9:04 AM
KEADAAN pondok yang terbakar. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN pondok yang terbakar. FOTO ihsan Bomba