Isa dan Bibi Sharliza tiba di Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan kes FGV. FOTO Gambar Ahmad Irham Mohd Noor dan Khairull Azry Bidin
Isa dan Bibi Sharliza tiba di Ibu Pejabat SPRM untuk membantu siasatan kes FGV. FOTO Gambar Ahmad Irham Mohd Noor dan Khairull Azry Bidin
Siti A'isyah Sukaimi


“SAYA sudah menjelaskan kepada mereka (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) beberapa perkara yang ditanya," kata bekas Pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad.

Sehubungan itu beliau menyerahkan kepada SPRM bagi menjalankan siasatan lanjut serta membuat penentuan beliau bersalah atau sebaliknya.

“Saya memberikan penjelasan kepada suruhanjaya itu membabitkan pelbagai perkara,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

Mengenai permasalahan FGV, Isa berkata, beliau tidak mempunyai kapasiti untuk menjawab perkara berkenaan kerana sudah tidak mempunyai jawatan dalam syarikat.

Ditanya sebab isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid turut dipanggil, beliau berkata, perkara berkenaan adalah normal.

Terdahulu, Isa dan isteri tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 9.40 pagi menaiki kereta Lexus warna hitam sebelum memberi keterangan lebih empat jam seterusnya dilihat keluar pada jam 2 petang.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dipetik berkata, beliau mengesahkan pihaknya memanggil Isa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2017 @ 4:21 PM