Kakitangan JPV Terengganu menunjukkan   kaedah pembuatan  silaj kepada penternak.
Kakitangan JPV Terengganu menunjukkan kaedah pembuatan silaj kepada penternak.
myMetro

Kuala Terengganu: Penternak lembu dan kambing di negeri ini yang sering mengalami masalah kekurangan sumber makanan ternakan pada musim kemarau dan tengkujuh lega apabila Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri menunjuk ajar cara penghasilan rumput jeruk atau silaj.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Tamizi Ghazali berkata, 40 penternak termasuk lembu dan kambing menyertai kursus pembuatan silaj itu, sekali gus mendedahkan mereka kaedah penghasilan berkualiti serta baik untuk ternakan.

“Sebelum ini mereka beli silaj daripada peniaga sedangkan rumput jeruk itu boleh disediakan sendiri bagi menjamin kualiti, malah menjimatkan kos.

“Pelbagai jenis ramuan boleh digunakan namun kami mengajar mereka cara pembuatan paling mudah dengan kos rendah tetapi berkhasiat,” katanya selepas merasmikan Kursus Pembuatan Silaj di Pejabat JPV Manir, semalam.

Malah, penternak yang kekurangan tanah untuk menanam rumput juga boleh menggunakan silaj itu untuk memberi makan ternakan mereka.

“Istimewanya silaj kerana ia boleh disimpan dalam jangka masa lama seterusnya menjamin bekalan makanan untuk ternakan setiap masa,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Kampung Pulau Rusa, Mohd Shahrir Mustapha, 35, berkata, sebahagian penternak tahu cara membuat silaj tetapi hasilnya kurang berkualiti dan tidak tahan lama.

“Kursus ini memberi ilmu baru kepada kami cara pembuatan silaj yang berkualiti dan boleh disimpan lama.

“Sebelum ini kami membeli silaj pada harga RM10 bagi 25 kilogram bergantung kepada jenis. Kini kami boleh menghasilkan sendiri dan menjimatkan belanja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 9:17 AM