AHMAD Zahid ketika melawat pameran sempena majlis makan malam penutupan Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8.
AHMAD Zahid ketika melawat pameran sempena majlis makan malam penutupan Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8.

Sepang: Sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara atas talian yang dikenali sebagai Sistem Pihak Berkuasa dan Badan Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB) dilancarkan malam tadi.

Majlis pelancaran sistem berkenaan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena majlis makan malam penutupan Konvensyen Badan Pensijilan Halal Ke-8, di sini.

Sistem yang seumpamanya dibangunkan di dunia itu menyediakan pengurusan dan pendaftaran bersepadu bagi Badan Pensijilan Halal Antarabangsa dengan pangkalan datanya berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, sistem berkenaan diwujudkan sebagai titik permulaan ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa.

“Sistem ini diperkenalkan bagi menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap peranan dimainkan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa selain memperkukuhkan keupayaan Sijil Halal Malaysia,” katanya.

Katanya, permintaan produk makanan halal di dunia semakin meningkat dan tahun lalu saja, sebanyak RM37.02 bilion dipasarkan di Asia Tenggara, Timur Tengah, China dan pelbagai negara lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindak balas yang diberikan pasaran dunia kepada produk halal sangat mengagumkan dan ia membuktikan produk halal mampu mendominasi pasaran pada masa depan.

“Saya turut menyeru semua badan pensijilan halal supaya mempromosi halal sebagai jenama premium, yang menekankan aspek kualiti, keselamatan serta baik untuk kesihatan.

“Bagi mencapai matlamat itu, Malaysia komited untuk kekal sebagai pemain penting dalam pasaran halal, seterusnya menjadi hab halal di peringkat dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2017 @ 3:51 AM