KEMUDAHAN  aktiviti papan luncur turut disediakan.
KEMUDAHAN aktiviti papan luncur turut disediakan.
GOLONGAN hawa turut serta menunjukkan bakat.
GOLONGAN hawa turut serta menunjukkan bakat.
Syazwan Msar


Shah Alam: Bersantai sambil mencuba sukan lasak antara tarikan utama di Taman Sukan Lasak, Seksyen 13, di sini, yang pasti menjanjikan suasana penuh keseronokan kepada mereka yang mahu menghabiskan cuti hujung minggu dengan aktiviti lasak.

Terletak berhampiran Stadium Shah Alam, taman sukan lasak itu cukup sinonim dengan penduduk bandar raya ini yang rata-rata mahukan sesuatu lokasi bersesuaian untuk beriadah sambil bersukan tanpa perlu ke tempat lebih jauh.

Jika kali pertama berkunjung ke kawasan berkenaan, pastinya akan melihat ramai golongan remaja berkumpul pada waktu petang terutama kepada peminat sukan papan luncur kerana mempunyai gelanggangnya yang luas dan lengkap.

Malah, jika mahu menjamu selera, lokasi berkenaan sebenarnya dikelilingi dengan premis perniagaan makanan, malah dalam kawasan taman sukan itu turut mempunyai restoran makanan segera.

Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan ibu bapa akan membawa anak masing-masing bersantai
di taman sukan itu sambil melihat kehebatan ahli sukan memanjat tembok atau bermain basikal di kawasan berkenaan.

Seorang pemain sukan papan luncur Mohd Yusyazwan Adnan, 29, berkata, hampir setiap minggu dia bersama rakan akan menghabiskan masa pada waktu petang bersantai di kawasan berkenaan.

Yusyazwan berkata, taman sukan lasak berkenaan yang terletak berhampiran rumahnya memudahkannya untuk melakukan pelbagai aktiviti tanpa perlu ke tempat lain.

“Saya hanya berjalan kaki saja untuk ke taman sukan berkenaan dan segala kemudahan terdapat di lokasi terbabit malah ia diselenggara dengan baik oleh pihak berkaitan.

“Pada cuti hujung minggu, taman sukan itu akan dipenuhi dengan orang ramai yang membawa keluarga masing-masing untuk beriadah,” katanya, di sini.

Katanya, lokasi berkenaan yang terletak bersebelahan jalan utama juga memudahkan orang ramai untuk ke taman terbabit selain turut disediakan banyak tempat letak kereta khusus kepada pengunjung.

Sementara itu, Hazlina Mohd Khalid, 35, berkata, setiap petang dia akan membawa anaknya beriadah di kawasan berkenaan kerana lebih selamat dan mudah untuk memantau pergerakan mereka.

“Taman sukan itu mempunyai trek basikalnya dan juga taman permainan untuk kanak-kanak sekali gus sesuai untuk membawa anak pada cuti hujung minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 7:20 AM