KAUM keluarga menyempurnakan pengebumian Ahmad Razin.
KAUM keluarga menyempurnakan pengebumian Ahmad Razin.
Zairee Mohd Yasak


Melaka: “Ketika fikiran berserabut mengenangkan keadaan anak, tiba-tiba saya didatangi bayangannya. Ketika itu arwah kelihatan tercungap-cungap seperti sesak nafas dan cuba memberitahu sesuatu kepada saya.

“Lalu saya ajarkan dia mengucap dua kalimah syahadah sebanyak empat kali, sebelum bayangan itu berlalu begitu saja. Tidak lama kemudian kami terima panggilan dari wakil kerajaan Melaka di Mesir memaklumkan arwah sudah meninggal dunia,” kata Siti Fatimah Abas, 55.

Siti Fatimah adalah ibu kepada Ahmad Razin Mohd Fauzi, 23, penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Bahasa Arab) Universiti Al-Azhar, Mesir yang meninggal ketika dirawat di unit rawatan rapi Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kasr al-Aini, Kaherah akibat komplikasi paru-paru Ahad lalu.

Wanita itu berkata, walaupun sekadar bayangan Ahmad Razin, yang manja dengan panggilan Abang, dia tetap lega kerana dapat bertemu dengan arwah buat kali terakhir.

“Pada pagi Ahad kami terima panggilan dari Mesir memberitahu anak dimasukkan ke ICU, jadi keluarga ambil keputusan untuk ke sana dan bawa Abang pulang ke Melaka untuk mendapatkan rawatan di negara ini.

“Namun, pada hari itu tidak ada penerbangan terus ke Kaherah menyebabkan fikiran saya menjadi berserabut. Kira-kira jam 2.45 petang saya tiba-tiba didatangi bayangan arwah, namun 15 minit kemudian saya terima panggilan dari sana (Mesir) memaklumkan anak keempat dari enam beradik itu sudah meninggal dunia.

“Arwah sedang bercuti selepas selesai menduduki peperiksaan, kali terakhir dia menghubungi saya 26 Januari lalu kerana mahu tanya khabar saya yang sebelum itu ditahan di Hospital Melaka kerana masalah sakit perut,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengebumian Ahmad Razin, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kecil, di sini, kelmarin.

Pengebumian arwah pada jam 11.40 malam, dihadiri lebih 500 ahli keluarga rakan-rakan, penduduk kampung dan beberapa pemimpin tempatan.

Menurutnya, sepanjang perbualan itu, arwah memberitahu dia berasa amat rindu kepada semua ahli keluarga, namun langsung tidak memaklumkan mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 7:03 AM