ORANG ramai membantu menutup mayat mangsa.
ORANG ramai membantu menutup mayat mangsa.
Recqueal Raimi

Tuaran: Seorang wanita warga emas maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 26.2, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran berhampiran sebuah stesen minyak di Rugading, semalam.

Pada kejadian jam 6.40 pagi itu, mangsa, Chin Siew Mee, 65, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, ketika kejadian, wanita itu dipercayai sedang melintas jalan.

Bagaimanapun, katanya, sebuah kereta Perodua Bezza dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dari arah Telipok Ria menghala ke Tawau, tidak sempat memberhentikan kenderaan dan merempuh wanita itu.

Katanya, ia menyebabkan mangsa terpelanting ke tepi jalan.

“Mangsa yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuaran untuk di bedah siasat.

“Pemandu kereta terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Tuaran,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fuad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 5:25 AM