PENDAKWARAYA kelihatan keluar daripada mahkamah selepas membentangkan hujahan dihadapan hakim selepas pihak mahkamah memutuskan 27 Disember depan bagi keputusan pertuduhan.
PENDAKWARAYA kelihatan keluar daripada mahkamah selepas membentangkan hujahan dihadapan hakim selepas pihak mahkamah memutuskan 27 Disember depan bagi keputusan pertuduhan.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Nasib lima tertuduh yang didakwa bersama ketua kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ atas tuduhan berkonspirasi membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd Malek, tiga tahun lalu akan diketahui pada 27 Disember depan.

Perkara itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan hujahan bertulis mengikut tempoh ditetapkan.

Keputusan perbicaraan kes itu sepatutnya dibuat pada prosiding semalam, namun ditangguhkan.

Ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat yang sudah meninggal dunia pada 16 Ogos lalu didakwa bersama lima tertuduh lain mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, kes itu kini hanya membabitkan lima tertuduh iaitu isteri ketiga Harun, Azida Mohd Zol, 33, pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan tiga pengikut Jefferi Safar, 39, Sumustapha Suradi, 41, serta Shamsinar Abdul Halim, 39, bersama seorang lagi masih bebas dituduh melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, jam 1.50 petang, pada 10 November 2013.

Pada 20 Mei lalu, Mahkamah Tinggi, di sini, mengarahkan semua mereka membela diri atas tuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Sementara itu, Shamsinar bersama Sumustapha juga diarahkan membela diri atas satu lagi pertuduhan iaitu bersama seorang lagi yang masih bebas membunuh Ahmad Raffli pada tarikh, tempat dan masa sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 4:53 AM