Anggota HAZMAT membersihkan tumpahan merkuri.
Anggota HAZMAT membersihkan tumpahan merkuri.
myMetro

Kota Bharu: Disebabkan bimbang dimarahi guru, dua pelajar tingkatan satu Maktab Sultan Ismail, di sini nekad membersihkan tumpahan merkuri dengan tangan mereka supaya sisanya tidak kelihatan.

Perbuatan itu dilakukan ketika seorang daripada mereka secara tidak sengaja memecahkan termometer ketika melakukan uji kaji dalam makmal sains sekolah berkenaan.

Akibatnya, mereka terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini kerana mengalami gatal di tangan dan muka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Penolong Penguasa Bomba Wan Shahrir Azizi Wan Said berkata, turut diarah menjalani pemeriksaan kesihatan tujuh guru dan kakitangan sekolah itu.

“Sebelum itu, kami menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah jam 12.55 tengah hari memaklumkan ada berlaku tumpahan merkuri di makmal sekolah.

“Enam anggota ke tempat kejadian bersama unit HAZMAT dan kami mengarahkan kawasan seluas 50 meter dikosongkan untuk kerja pembersihan.

“Berlaku tumpahan sebanyak 10 mililiter dan sulfur digunakan untuk mengesan dan membersihkan tumpahan bahan berkenaan.

“Lebih tiga jam diperuntukkan untuk bersihkan makmal itu sebelum ia dibenar digunakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:45 AM