ANGGOTA bomba  membawa turun seorang  wanita yang  cedera di belakang badan selepas terjatuh  terkena batu ketika mendaki  Gunung Irau.
ANGGOTA bomba membawa turun seorang wanita yang cedera di belakang badan selepas terjatuh terkena batu ketika mendaki Gunung Irau.
Farah Suhaidah Othman

Cameron Highlands: Seorang wanita cedera di belakang badan selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Irau, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 21 tahun yang menyertai 30 pendaki terpaksa mendapatkan bantuan anggota keselamatan berikutan kecederaan dialami.

Ketua Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Hisyam Zakariah berkata, ketika kejadian sepasukan anggota bomba yang turut disertai STORM dan pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) dalam perjalanan menuruni gunung berkenaan ketika menjalani latihan anjuran Kelab Sukan Ibu Pejabat JBPM negeri.

Katanya, dalam perjalanan itu, pasukannya menerima maklumat terdapat orang awam jatuh ketika mendaki.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan khas yang menjadi pengiring keselamatan mendapati mangsa terbaring dan tidak boleh berjalan.

“Pasukan khas menggunakan pengusung yang dibawa ketika latihan untuk mengangkat mangsa dengan dibantu 12 anggota bomba serta empat orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohd Hisyam berkata, keadaan muka bumi bercerun menyukarkan operasi menyelamat yang mengambil masa kira-kira empat jam.

“Keadaan gunung dengan kecerunan 75 darjah serta tanah lumpur dan becak akibat hujan lebat pada waktu pagi memberi cabaran dalam operasi menyelamat berkenaan selain memikul pengusung secara bergilir-gilir sejauh 1.4 kilometer.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kawasan berkenaan pada jam 8 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, di sini, untuk menerima rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 8:41 AM